Thursday, January 29, 2009

FRANCE, Angouleme – Mencari Anak….. Bhg. Akhir

Kami bersalaman dan bertanya khabar. Begitu juga dengan kawan-kawannya. Kami ikut mereka ke perhentian bas yang berhampiran stesyen keretapi, berdepan dengan hotel tempat kami menginap. Saya tunjukkan kepada Luqman hotel yang kami sewa. Leka bersembang, saya terlupa nak memberitahu perkhidmatan bas tak ada hari itu, cuti Bank Holiday. Mungkin mereka pun tak tahu atau terlupa kerana mereka baru saja datang ke Angouleme. Lama menunggu, mereka ambil keputusan untuk berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Kami tak ikut serta, sebab dah tempah hotel untuk 2 malam. Malam itu kami tidur di hotel.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami sudah bersedia ke apartment Luqman. Tunggu punya tunggu Luqman tak datang. Mungkin dia keletihan agaknya. Maklum lah baru pulang dari Toulouise semalam. Kami perlukan dia untuk membawa beg yang berat tu. Dalam masa ½ jam, Luqman pun sampai bersama Haikal, teman serumahnya. Kami pun turun kebawah untuk menyerahkan kunci bilik. Semasa menyerah kan kunci, saya lihat Luqman bercakap dengan Pakcik dan Makcik tuanpunya hotel. Antaranya yang saya dengar “me paron”, (R , tu bunyi macam orang tak pandai cakap "r". N, tu tak dibunyikan dan segau sikit), lebih kurang begitulah bunyinya. Waktu tu rasa proud sangat. Rasa macam pertama kali dia pandai sebut perkataan “ummi” semasa bayi dulu, “ Wow........., pandai sudah anakku berbahasa Perancis.....!, sampai juga hasrat kami”, hati saya berkata. Mungkin dia meperkenal kan kami, ibubapanya kepada Makcik dan Pakcik tadi. Setelah mengucapkan “merci boucoup” dan “au revouir” kami meninggalkan hotel.



Kami menaiki bas untuk ke rumah Luqman. Didalam bas mungkin ramai yang memerhatikan kami. Hubby mengendong bungkusan kain..., berisi pakaian kotor yang telah kami pakai. Bungkus dengan kain pelekat pulak tu.........!. Saya ketawa.....kik,kik,kik...., betul-betul macam dalam cerita purbakala, kalau di KL, mesti dah kena kutuk. Luqman dan Haikal senyum dan buat tak tahu aje. Selepas 2 perhentian bas, kami pun sampai.

Rumah Luqman terletak di tingkat 4 (paling atas). Agak selesa juga rumah mereka ni. Ada 2 bilik, ruang tamu dan dapur. Peralatan asas disediakan. Kami lihat meja makan dan almari pakaian (pasang siap), tidak berpasang lagi. Kami selongkar beg yang kami bawa tadi dan keluarkan segala makanan, kemudian saya simpan di tempat yang sepatutnya. Hampir seminggu makanan ni ada dalam beg.

Setelah minum dan makan biskut, saya rehat sebentar. Hubby pula sibuk membelek meja dan almari pasang siap yang masih dalam kotak.., terdampar di atas lantai. Meja dan almari pasang siap ni tak boleh dipasang kerana pemutar skrew tak ada.

Dua jam kemudian, kami mengajak Luqman dan Haikal ke pasaraya untuk membeli barang basah. Kami berhajat nak buat kenduri doa selamat untuk mereka yang ada disitu. Kami di bawa ke pasaraya “Auchan” dengan menaiki bas. Menurut mereka, barang-barang yang dijual disini lebih murah berbanding pasaraya Perancis yang ada di Malaysia. Makanan halal memang ada. Daging dan ayam segar juga di jual, lengkap dengan surat dan logo halalnya sekali. Memang mudah membeli makanan halal di sini berbanding sewaktu kami di Wales, United Kingdom dulu. Syukur, Alhamdulillah. Saya tidak bimbang lagi, soal makan dan minum Luqman. Masjid juga ada. Selesai membeli belah, kami ke food court yang ada didalam pasaraya tersebut. Kami makan tengahari di situ.

Pulang ke rumah saya berehat sebentar. Hubby meneruskan kerjanya untuk memasang meja dan almari pasang siap tadi, Skrew driver sudah di beli di pasaraya “Auchan”. Setelah solat jama’, siap memasang meja dan almari pakaian, kami turun ke bawah untuk memasak. Kenduri doa selamat ni, kami buat di rumah Bard, Hafis dan Shazwan, kerana rumah mereka agak besar. Rumah mereka, rumah teres 2 tingkat, terletak di hadapan bangunan apartment dan mempunyai laman di belakang rumah.
Kami bergotong-royong memasak untuk majlis tersebut. Saya selaku orang tua, menjadi chef waktu itu. Kesemuanya hanya ada 14 orang, termasuk kami. Empat orang pelajar perempuan dan lapan orang pelajar lelaki. Ada 2 orang lagi pelajar Malaysia berbangsa cina tidak dapat hadir (ada hal). Kami masak kari daging, pecal (guna sayur-sayuran yang ada di sini, brocoli, bunga kobis dan sebagainya), ayam masak lemak cili api, pegedel, ikan gelama masin dengan bawang goreng (yang kami bawa) dan puding sebagai pencuci mulut. Bagusnya, kami tidak mendapat “complain’ dari jiran tetangga (bau masakan). Agak lama juga baru siap kerana peralatan dapur tidak lengkap dan memasak menggunakan dapur letrik. Selesai menunaikan solat maghrib, bacaan doa dimulakan, setelah itu kami menjamu selera sambil berborak. Hampir jam 10 malam, kami naik keatas (rumah Luqman) untuk melelap kan mata.

Hari berikutnya, saya masak nasi lemak dan sambal ikan bilis campur terong untuk sarapan Luqman dan Haikal. Mereka makan penuh selera sebelum bertolak ke universiti. Begitu lah seterusnya selama 1 minggu. Bermacam-macam masakan yang saya buat. Antaranya mee rebus (guna spagetti), mee goreng, masak beraini ayam, kari, pegedel, masak kurma dan lain-lain lagi. Pokoknya, waktu Luqman balik dari universiti, makanan sudah terhidang di atas meja. Saya buat pegedel dan karipap putar frozen untuk simpanan mereka (banyak juga). Masa nak buat karipap putar, penggelek (roller) tak ada, saya gunakan gelas yang agak panjang sebagai ganti. Ada sekali, Luqman belanja kami makan di restoran.

Seminggu sudah berlalu. Esok, jam 6.45 pagi kami akan berangkat ke Paris dengan menaiki keretapi laju. Malam terakhir kami di sini, selepas makan malam, sambil menonton tv, Luqman baring di pangkuan saya. Saya usap rambutnya..., saya katakan kepada Luqman.., saya berdoa semoga dia dan saya tidak teruk menanggung rindu (home sick) antara satu sama lain, dan memberi beberapa nasihat. Dia mengiakan sahaja. Sebak rasanya. Saya dan Hubby “tidur-tidur ayam” malam itu.
Seawal jam 6 pagi kami harus ke stesyen keretapi Angouleme. Kami menaiki teksi yang telah kami tempah terlebih dahulu dengan bantuan Mustaqim. Luqman hanya menghantar kami di pintu masuk utama apartment kerana dia ada kelas pagi itu. Sewaktu bersalam, peluk-cium dan meninggalkan Luqman, saya tidak menangis.
Kami menaiki keretapi jam 6.45 pagi. Seperti biasa, pemandangan semasa dalam perjalanan tidak menjemukan, mata saya sibuk memerhatikan keadaan sekeliling, tapi hati saya menangis........., menangis mengingatkan perpisahan dan memikirkan entah bila akan bertemu Luqman lagi (inshaallah - Luqman belajar di Perancis selama 7 tahun).
Dua jam kemudian, kami sampai ke stesyen Montparnasse (central). Kami harus mengambil tube untuk ke stesyen keretapi Paris Du Nord. Kali ini kami tidak cemas dan tergesa-gesa kerana kami punya waktu yang panjang. Keretapi dari Paris Du Nord ke Schipoll, Amsterdam akan bertolak jam 2 petang, kami masih ada 1 jam lagi. Cuaca pulak agak sejuk. “Masalah juga bila terlebih masa ni...., dulu sewaktu datang, terkejar-kejar, nak balik..., lama pulak menunggu, sejuk..................!”, bisik hati. Kami minum kopi panas dan makan sandwich untuk menghilang kan rasa sejuk dan lapar.

Setelah keretapi sampai, kami pastikan tempat duduk dan nombor coach yang betul agar tidak tersalah lagi. Dalam perjalanan, seperti biasa, pemandangan sungguh cantik. Kali ini saya menangis............, menangis teresak-esak dan tersedu, sedih mengenangkan perpisahan tadi. Semakin jauh perjalanan, semakin laju airmata keluar. Saya pakai cermin mata hitam supaya tidak dilihat orang. Dalam masa yang sama hati memujuk, “anak aku kesini untuk belajar....., demi masa depan dia...., lagi pun teknologi moden untuk berkomunikasi kan ada.....” bisik hati. Perasaan positif dan negatif berperang antara satu sama lain di dalam fikiran. Hubby pula sudah lena di buai mimpi.

Akhirnya kami sampai di lapangan terbang Schipoll, Amsterdam, lebih kurang jam 5 petang. Waktu penerbangan ke Kuala Lumpur pula, jam 11 malam, lambat lagi. Kami masuk ke restoran makan segera, makan dan berehat hampir 1 jam disitu.

Untuk mengisi masa, kami mengunjungi beberapa buah kedai yang ada di dalam lapangan terbang Schipoll ni, sehinggalah kaunter “check in" dibuka. Setelah mendaftar, kami terus ke bilik menunggu. Sewaktu menunggu, kami lihat ada satu keluarga Melayu datang ke arah kami dengan senyuman. Kami berkenalan. Orang Malaysia. Suami isteri dan mempunyai 5 orang anak. Dengan wajah yang ceria dan berseri-seri, beliau (lupa nama) bercerita, baru sahaja menamatkan pengajian peringkat Ph.D dengan jayanya, selepas 4 tahun tinggal di United Kingdom. Mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia, singgah (transit) di Amsterdam. Kami hanya mendegar dan tersenyum. Kami dapat menyelami perasaannya kerana kami sudah melaluinya 6 tahun yang lalu.

Sampai waktu, kami pun berlepas ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat KLM. Di dalam pesawat, setelah terjumpa keluarga tadi, saya mendapat semangat yang baru. Di dalam hati saya berkata, “Berjuang lah anak ku ............., untuk Agama, Bangsa dan Negara!”.

No comments: